Wednesday, May 26, 2010

Bedaksejuk


Bedak sejuk, lekeh sangat bunyinya. Barangkali hanya orang kampung sahaja yang pakai bedak sejuk. Diletak di tapak tangan, ditambah sedikit air sejuk lalu digosok-gosok dengan tapak tangan yang sebelah lagi. Akhirnya ditampal-tampal di muka. Bertempek-tempek di seluruh muka. Makin terserlah putihnya apabila telah kering. Sebab itulah barangkali tidak ramai orang memakainya, malah kini anak-anak generasi baru kita ada yang tidak pernah mendengar namanya, bedak sejuk.

Bedak sejuk sebenarnya banyak kegunaannya. Dahulu kala, orang kita memakainya kerana ia yang paling murah, bahkan boleh dibuat sendiri di rumah dari lebihan beras pulut. Direndam di dalam air sejuk dan dibiarkan sekian lama sehinggakan beras pulut tadi hancur menjadi seakan tepung dan sudah tentu keluar bau masamnya. Kemudian digunakan corong yang dibuat dari daun pisang, dititik-titik di atas kain batik. apabila kering terhasillah bedak sejuk. Untuk menghilangkan bau masamnya atau untuk mewangikannya, ia dicampurkan hirisan daun pandan dan disimpan di dalam botol.

Bedak sejuk yang semakin dilupakan, sememangnya terasa sejuk apabila ditampalkan dimuka. Menghilangkan jerawat dan melicinkan pipi. Ada juga bedak sejuk yang dipercayai dapat merawat resdung atau kegatalan rasa di kulit badan. Kreatifnya orang kita.